Friday, January 10, 2020

Kampung Ku.. Kampung Pulau Panjang

Assalamualaikum...

Entry kali ni dan  seterusnya rasa nak bercerita tentang kampung tempat saya membesar penuh dengan kenangan pahit manis sebagai kenangan untuk generasi2 akan datang..

Kampung Kami diberi Nama Kampung Pulau Panjang, sempena dengan bentuk pulau yang memanjang dikelilingi oleh Sungai.

Kampung ini telah didiami sebelum perang Jepun lagi dan dahulu nama kampung ini Juga di panggil kampung Raja.
Saya mugkin generasi yang ketiga yang tinggal dikampung. Saya lahir tahun 1972, dan ayah saya lahir dalam tahun 1933.
Dari segi bentuk mukabumi,tak banyak yang berubah kecuali kampung semakin mengecil  disebabkan hakisan sungai dan pantai.



Bentuk Muka Bumi Sekarang : 2020

Bentuk Muka Bumi Dahulu: 1980

Sekitar tahun 1980-1990, kampung pulau panjang adalah pulau sepenuhnya,tetapi kerana hakisan pantai yang berlaku, ia telah bercantum dengan pantai dan sekarang untuk kepantai dah tak perlu untuk menyeberangi sungai. Saya masih ingat masa itu untuk ke pantai Pak Amat (tempat Jepun Mendarat),kami samada berenang daripada hujung tanjung ke pantai ataupun kami berjalan melalu jambatan yang menghubungkan kampung kami dengan kampung2 disekitar (agak jauh untuk sampai kepantai)

Sekitar tahun 1980 ada empat Jambatan yang menghubungi kamapung kami dengan kampung jiran. Sekarang Hanya tinggal dua Jambatan sahaja. Saya sempat merasa  kedua2 jambatan Terapung dan Juga Jambatan Kayu.

Sudah semestinya bagi saya, kampung saya ketika saya kecil adalah tempat yang amat menarik berbanding dengan sekarang.

Untuk next entry saya ingin bongkarkan apa yang menariknya kampung saya ketika zaman kanak2.

Jumpa lagi wassalam...

Monday, December 9, 2019

Terperangkap Banjir 22-24 Dis 2014 - Kelantan Menangis- 2

Assalamualaikum,

Sekarang dah masuk bulan Tengkujuh kata orang kelantan, dimana musim hujan akan turun tanpa henti yang boleh menyebabkan banjir.
Di Bangi ni pun hujan turun boleh kata saban hari.. 
Saya masih ingin sambung kisah terperangkap dalam banjir besar di Gua Musang pada Disember 2014 yang part pertama telah saya tulis dalam post yang terdahulu..

... Sambungan dari post lalu
 Hujan yang turun  tanpa henti dari kuala Krai sampailah ke Gua Musang..sesampai di Merapoh dalam pukul   5.30 petang deretan kereta dah mula perlahan dan akhirnya terhenti..setelah bertanya dengan pemandu lain, diberitakan ada air melintas jalan (banjir dah melimpah), ada yang berani ambik risiko untuk teruskan meredah air. Kenderaan Berat dan Pacuan 4 roda masih boleh melaluinya..


Dengan keadaan hujan yang belum berhenti walaupun renyai, saya membuat keputusan utnuk patah balik ke Gua Musang (dalam jarak 20KM, perjalanan selama 15 minit) dengan niat untuk mencai hotel/tempat tidur untuk bermalam. Malangnya semua hotel sudah penuh kemungkinan besar disebabkan ramai yang membuat keputusan untuk bermalam sementara menunggu air surut.

Semasa pusing2 untuk mencari hotel kami melihat  air sungai yang bersebelahan KESEDAR dah mula melimpah dan ada rumah berdekatan yang berada dikawasan rendah dah dimasuki air. Kami mengambil keputusan untuk berehat sambil menunggu hujan reda  di Masjid Gua Musang (Masjid Tengku Faris) . Masjid Ni Berada di tempat yang paling tinggi di area Bandar Gua Musang.
Besebelahan Masjid ini adalah Bangunan Kesedar yang dibina dilereng bukit.Bangunan air sungai sudah mula melimpah.

Kami sempat pergi ke bangunan Kesedar untuk melihat-lihat paras kenaikan air dari sungai.


Gambar diambil dari dalam bangunan Kesedar, air berwarna coklat adalah air limpahan dari Sungai Ketil bersebelahan














Bumbung Biru=Masjid, Bumbung Merah (kanan)=Bangunan Kesedar


Melihat keadaan hujan yang sedikit reda, kami membuat keputusan untuk mencuba nasib sekali lagi untuk meneruskan perjalanan balik ke Kuala Lumpur tetapi malangnya harapan tinggal harapan kerana jalan masih belum boleh dilalui. Mulanya niat untuk bermalam dalam kereta sahaja sambil menuggu manalah tahu air akan surut. Tapi dengan anak yang ramai, pilihan tersebut memang tak masuk akal tambahanan dengan ada anak yang masih kecil.
Akhirnya kami mengambil keputusan untuk patah balik dan bermalam di Masjid Gua Musang.
Bermulalah epsisod 3 hari 2 Malam kami terpaksa berkampung di situ.
Boleh Kata Memang ramai yang terpaksa berkampung dikawasan Masjid kerana terkandas dan hotel ataupun penginapan lain berdekatan sudah penuh.


Menunggu dengan penuh harapan...

Alhamdulillah malam pertama ada kedai makan berdekatan yang buka, dapatlah kami menjamah  masakan panas.
Kami berpecah tidur - lelaki tidur dalam kereta manakala perempuan dan yang kecik tidur dalam masjid.
Saya pernah merasakan pengalaman bermalam didalam kereta semasa belajar di Hokkaido Jepun dulu. kira inilah pengalaman kali kedua bagi saya.. walaupun kurang selesa dan selalu tersedar tapi alhamdulillah tiada apa2 yang tak diingini berlaku.


Sarapan Pagi di Gerai Berdekatan (Gua Musang)

Pada keesokan harinnya (23 hb) dengan hujan yang masih berterusan, kami hanya mundar mandir di sekitar bandar gua musang dan kembali ke Masjid untuk bermalam.
Line Internet terputus menyebabkna susah untuk mendapat maklumat keadaan jalan samada sudah boleh dilalui atau belum.
Informasi kami dapat melalui mulut daripada orang yang singgah di Masjid.

Pada malam kedua kami bertukar tempat tidur - lelaki di dalam Masjid dan Perempuan didalam kereta. Alhamdulillah malam kedua pun tiada apa2 yang tak diingini berlaku.

Pada pagi 24 hb,kami mendapat berita yang jalan sudah boleh dilalui. Jadi tanpa membuang masa kami terus meneruskan perjalanan bersama kawan baru yang kami kenali semasa menumpang di Masjid.
Kami berasa teruja dan bersyukur kerana dapat meneruskan perjalanan balik ke Bangi selepas 2 malam kami terperangkap di gua musang..
Kegembiraan kami tak lama apabila melepasi selekoh dikampung Persit ada air melintasi jalan yang kami lalui.. keadaan air agak dalam dan tak sesuai untuk diharungi..
Kereta didepan kami terpaksa berpatah balik dan kami ditunjukkan oleh orang kampung disitu ada jalan alternatif yang boleh dilalui berdekatan (jalan kampung).
Alhamdulillah kami selamat keluar Ke Jalan Utama bersebelahan dengan Surau Teluk Gunung yang berhadapan dengan tempat Perhentian Bas Perdana  di Merapoh..

Jalan masuk alternatif dekat selekoh Kampung Persit

Jalan Kampung (alternatif)

Jalan Kampung (alternatif)

Jalan Kampung (alternatif)


Jalan Keluar alternatif besebelahan Surau Teluk Gunung

Tak lama perasaan gembira kerana dapat meneruskan perjalanan, ada ujian lain yang sedang menuggu dihadapan rupanya..ia adalah beberapa pokok yang tumbang selepas Hentian Bas Transnasional menghalang perjalanan.
Semasa kami tiba sudah banyak kenderaan yang terkandas, tidak boleh tidak semua yang terkandas terpaksa bergotong royong untuk mengalihkan pokok yang tumbang. Alhamdulillah ada  yang mempunyai gergaji mesin yang digunakan untuk memotong batang dan dahan pokok yang tumbang. Oleh kerana ramai yang membantu untuk mengalihkan bahagian pokok yang dipotong, jalan dapat dilalui kembali dalam masa yang singkat.. saya sangat teruja melihat kerjasama pengguna jalan raya yang memang ohsem...walaupun pokok tu ada kerengga tapi itu semua tak jadi masalah..

Pokok Tumbang

Gotong Royong

Gotong Royong


Kami meneruskan lagi perjalanan  dengan perasaan gembira tetapi dengan berhati2 mungkin ada lagi halangan yang menunggu kamai dihadapan..

Sangkaan kami tepat sekali bilamana kami memasuki  highway, ada kereta yang yang terpaksa berpatah balik (songsang), kami tetap meneruskan perjalanan hinggalah sampai  distau tempat kelihatan air melintas jalan dengan agak dalam dan tak mungkin untuk kami harungi..kelihatan air dilorong sebelah sana (arah Kuala Lipis ke Merapoh) tak berapa dalam dan mungkin boleh dilalui.
Setelah berbincang dengan kenalan baru,kami membuat keputusan untuk patah balik (Sonsang) dan masuk balik melalui lorong sebelah sana (songsang).

Alhamdulillah kami berjaya mengharungi air tanpa sebarang masalah ..kami meneruskan perjalanan dengan harapan tiada lagi halangan yang menunggu kami didepan..
Seterusnya perjalanan kami lancar,cuma semasa kami sampai di jambatan dekat Padang Tengku keilhatan air diatas jamabatan tapi masih boleh dilalui dengan selamat..

Jambatan Berdekatan Padang Tengku

Akhirnya kami sampai di Bangi dengan selamat tetapi pengalaman kami terkandas 2 hari 2 malam adalah satu pengalaman yang tak dapat kami lupakan.



































































































Friday, October 21, 2016

Terperangkap Banjir 22-24 Dis 2014 (Kelantan Menangis) -1

Assalamualaikum...

Pada pertengahan bulan 12 2014, saya sekeluarga telah membuat perancangan untuk balik kekampung selepas selesai urusan ujian kemasukan MRSM Ulul Albab di Kepala Batas anak yang ketiga..

Kami sekeluarga bertolak dari KL hari khamis 18 hb dalam pukul 1 tengahari dan sampai di Homestay kepala batas dalam pukul 6 petang.
Homestay kami tak sampai dalam 5 minit untuk ke MRSM Kepala Batas.
Ujian bertulis, hafazan dan temuduga adalah pada keesokan pagi 19 hb (Jumaat).


Setelah selesai urusan kami sempat ke Pulau Pinang melalui Jambatan Pulau Pinang yang pertama dan keluar melalui Jambatan Kedua.
Pada asal rancangan kami ingin bermalam sehari lagi sebelum bertolak balik ke Kota Bharu.
Kami membuat keputusan disaat akhir untuk terus pulang ke Kota Bharu..

Kami sempat berhenti berehat dan sembahyang Maghrib di Hentian Jeti di Kawasan Tasik Banding/Hutan Belum sebelum meneruskan perjalanan.
Dalam perjalanan, kami melalui kabus yang tebal yang jarak penglihatannya hanya beberapa meter dihadapan.

Alhamdullilah kami selamat sampai di Kota Bharu dengan Selamat.
Semasa dalam perjalanan anak yang kecil ada berdoa minta berlaku banjir sebab beliau ingin bermain air banjir sambil menaiki perahu..

Sebelum kami pulang, Gelombang pertama Banjir telah melanda beberapa tempat di Kelantan.
Kampung kami juga dinaiki air tetapi tidak sampai melimpah. Dalam Group What'S apps Keluarga, ada dimuat naik gambar sepupu2nya sedang bermain perahu bersama datuk mereka.
Itu yang membuatkan budak2 tu teruja...
Alhamdulillah keesokannya dengan sedikit air pasang sempat juga anak2 merasa menaiki perahu.


Walaupun belum puas berada dikampung kami terpaksa pulang ke Bangi kerana kena kembali bekerja.
Pada hari isnin 22 Disember sebelum tengahari, kami bertolak balik ke Bangi dengan perasaan bercampur2.
Terpaksa meninggalkan ayah yang uzur dan juga abang yang semakin uzur disebabkan kencing manis namun perjalanan terpaksa di teruskan.

Sepanjang perjalanan hujan lebat mengiringi kami dan kami langsung tidak menyangka yang kami tidak akan dapat meneruskan perjalanan sampai ke Bangi pada hari yang sama....bersambung....




Friday, December 13, 2013

Mari Berniaga?

Assalamualaikum...
Semakin umur dah meningkat semakin kuat perasaan untuk melakukan bisness sendiri.
Banyak faktor yang menyebabkan perasaan untuk bekerja sendiri seperti berikut..
1. Masalah Kewangan
Dengan keadaan sekarang yang serba serbi mahal dan pertambahan dalam keperluan hidup dicampur dengan kehendak, makan gaji bukanlah sesuatu yang menarik.
Kalau dulu anak satu sekarang anak dah enam, tambah2 kalau semuanya dah bersekolah.
Kalau dulu pakai kancil sekarang dah kena pakai MPV sebab tak muat untuk balik kampung.
Terasa juga untuk melancung setahun sekali, tapi kalau gaji setakat cukup untuk belanja bulanan, bonus untuk bayar permulaan sekolah
Peningkatan gaji pula rasanya tak sepadan dengan peningkatan harga barang.
2. Ingin Berkongsi Kepakaran
Dengan ilmu dan pengalaman yang dikutip semasa belajar dan bekerja makan gaji. Seseorang itu biasanya telah mendapat kepakaran dalam sesuatu bidang yang diceburi atau diminatinya. Tambahan lagi kepakaran itu dapat menambah nilai kepada sesuatu perkara contohnya kepakaran dalam menyediakan masakan yang sedap, berkhasiat dan berkualiti ataupun kepakaran dalam ilmu bahasa asing. Kepakaran ini kalau dapat diajar atau dikongsikan kepada orang lain yang memerlukan ia boleh juga dianggap amal jariah untuk bekalan kita diakhirat nanti.
Rasanya amatlah rugi jika ilmu yang boleh memberi menafaat ini hilang tanpa dikongsikan kepada orang lain.
Walau apa pun alasan yang diberikan, ternyata berniaga perlukan kepada minat dan keberanian yang tinggi.
Sayapun berminat untuk berniaga tapi masih belum cukup berani untuk betul2 berniaga..
Dalam masa setahun ni saya cuba "berkawan" dengan orang2 yang telah berjaya dalam perniagaan melalui pelbagai cara samaada mengikuti seminar ataupun hanya follow Blog ataupun facebook seperti Dr Azizan Osman, Shamsuddin Kadir, Puan Ainon dan beberapa orang lagi yang saya rasa cara mereka adalah sesuai dengan jiwa saya. Saya berimpian untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat berdasarkan ilmu dan pengalaman yang saya ada semoga ianya dapat membawa kebaikan kepada mereka dan juga komuniti.
Saya senantiasa berusaha untuk memajukan diri dan juga menjadi insan yang sepositif mungkin..
Insyaallah muga hari2 yang mendatang segala yang direncanakan akan dapat dilaksanakan...

Sunday, October 14, 2012

Kenapa Kita Sentiasa Sibuk? 2.0

Assalamualaikum!

 Kembali dalam topik Kenapa Kita Sentiasa Sibuk.
Tapi kali ini saya nak bercerita tentang "perjuangan" saya selama bekerja di sebuah syarikat perkilangan di Lembah Kelang.
Perjuangan saya adalah untuk memudahkan segala urusan kerja-kurangkan birokrasi dan andaian, hanya fokus pada masalah sebenar dalam melakukan sesuatu kerja.

Saya bekerja di bahagian rekabentuk produk (Eng. Dept) yang berhubung dengan pelbagai pihak bermula dari fasa rekabentuk (Design) sampailah kepada fasa penghasilan (Production) dan seterusnya kepada mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan produk yang dihasilkan secara berterusan selagi ada permintaan dari pelanggan.

Untuk itu, saya merasa perlunya satu database (pengkalan data) yang boleh digunakan untuk merekodkan data secara betul, menganalisis dan memantau segala aktiviti yang berkaitan dengan tugasan yang dipertanggungjawabkan.

Database yang sedia ada boleh kata 100% adalah berdasarkan MS Excel dimana disebabkan tiada keseragaman dalam memasukkan data (Key-In Data) dan Perisian Ms Excel itu sendiri terlalu mudah lentur (Flexible) maka sesiapun boleh menghasilkan database dan memasukkan data ikut sedap rasa. Pada hakikatnya MS Excel pun boleh digunakan sebagai database yang ringan kalau etika2 database itu boleh dipatuhi.

Bahananya, apabila data yang direkodkan tadi terpaksa dianalysis secara manual (dibuat ringkasan kepada bentuk table dan Graf). Aktiviti ringkasan ini menngambil masa yang agak panjang-mungkin berhari2 kerana rekod yang ada tidak seragam. Pemantauan pula boleh dikatakan hampir mustahil kalau melibatkan rekod yang banyak.
Kesimpulannya, masalah kesilapan sentiasa berlaku dan kita senantiasa sibuk  untuk menyelesaikan masalah kesilapan yang berlaku tadi tanpa ada fokus untuk menyelesaikan masalah pokok (utama) yang selalu dikaitkan (ditudingkan) kepada masalah disebabkan oleh manusia (Human Error)

Pada awal 2005, saya telah memulakan satu MS Acces Database berkenaan Pertukaran Rekaan kepada sesuatu produk. Database asal adalah dalam format Excel dan ia dikongsi dengan pelbagai department. Mulanya tiada masalah besar yang timbul sebab rekod pertukaran rekaan hanyalah sedikit kerana jenis model yang dibuat tak sampai 10 jenis, tapi lama kelamaan jenis model telah berganda dengan besar menjadi  lebih 200 jenis model. dan rekod pertukaran semakin bertambah dari sehari ke sehari.

Kemuncaknya ada beberapa kes yang besar berlaku dimana pertukaran rekaan tidak sempurna dan menimbulkan kerugian yang besar bagi pihak syarikat.

Saya mengambil masa yang agak lama untuk menyempurnakan database tersebut (3 tahun) dan masih mengubahsuainya hingga sekarang.

Pada masa yang sama saya telah membuat beberapa database untuk kegunaan kerja saya dan setelah  banyak mendapat menafaat daripadanya, saya mula berani untuk mempromosikan kepada pihak lain untuk beralih daripada database dalam format Excel kepada Access.

Pada hujung 2008, Saya telah berjumpa dengan Bahagian Latihan untuk berbincang berkenaan Latihan Dalaman MS Acces. Saya mendapat sokongan dari pelbagai pihak dan Sessi pertama latihan pada bulan Disember 2009 dikendalikan oleh saya secara sukarela.(Latihan MS Access pernah diadakan sebelum itu oleh pihak lain tetapi terhenti pada tahun 2004)
Bermula dengan dua orang sukarelawan sebagai pengajar pada 2010, tiga orang 2011 dan sekarang 5 orang, transformasi kearah penggunaan Acces menggantikan Excel menjadi semakin rancak.
Kelebihan menggunakan Access telah dibuktikan dengan terhasilnya beberapa database yang direka dan diguna pakai oleh individu yang telah menghadiri kursus.
Database yang dihasilkan ternyata memudahkan individu itu sendiri dan sesiapa yang berurusan dengannya.

Namun begitu keadaan sekarang mungkin hanya dalam 50% sahaja target saya tercapai..disebabkan masih banyak lagi rekod penting dalam format Excel yang perlu ditukar kepada Access secepat mungkin..

Tapi bak kata pepatah, perahu sudah di air, dayung sudah ditangan, cuma tinggal semangat untuk mendayung ke tempat yang ingin di tuju. Kalau lambat mendayung nanti takut2 lambat sampai ataupun perahu terus hanyut dibawa arus..

Hingga bertemu lagi. wassalam...



Saturday, July 21, 2012

Kenapa Kita Sentiasa Sibuk?


Assalamualaikum..!
Alhamdulillah sempat lagi nak menulis berkenaan dengan kenapa kita  Sentiasa Sibuk.
Stephen Covey dalam bukunya the Seven Habit ada membahagikan kerja2 yang kita lakukan sekarang adalah dalam lingkungan 4 bahagian (4 Quadran) - ia adalah dari matrik Kepentingan dengan Kesegeraan.
Maknanya kita nilaikan setiap kerja kita adakah ia;
1. Penting dan mesti dilakukan segera? (Quadran I)
2. Penting Tapi boleh dikemudiankan kerana mungkin memerlukan masa,tenaga dan kewangan baru dapat melakukannya (Quadran II)
3. Kurang Penting Tapi kena lakukan dengan segera (Quadran III)
4. Kurang Penting dan Tak perlu bersegera untuk melakukannya (Quadran IV)

Mungkin sukar untuk mengenal pasti dalam kategori manakah perkara yang kita lakukan sekarang tergolong.  mungkin jugak ia bergantung kepada status kewangan, pangkat dalam organisasi seseorang itu.

kita ambil contoh yang paling dekat- sebagai surirumah sepenuh masa yang suaminya hanya seorang eksekutif biasa disyarikat swasta. Aktiviti biasa sebagai seorang surirumah mungkin seperti berikut.
1. Memasak
2. Mengemas Rumah
3. Membasuh Kain Baju
4. Menyiapkan Pakaian Suami dan Anak2
5.  Menonton  TV
6. Membaca (Surat Khabar, Novel, Majalah dll..)
7. Menyediakan Menu Masakan
8. Berborak dalam Telefon
9. Menghantar dan Mengambil anak ke/dari sekolah
10. Mengajar Anak (Pelajaran)
11. Melayari Internet
13. Membuat Kerja Sambilan dirumah
14. Menghadiri kelas kemahiran (memasak, menjahit dsb..)
15. Mengikuti Pengajian Agama
16. Berborak Dengan Jiran


Mari kita kategorikan setiap aktiviti tadi mengikut Quadran yang sepatutnya.

Quadran I:
Memasak, Mengemas Rumah, Membasuh Kain Baju, Menyiapkan pakaian suami dan anak2, menghantar dan mengambil anak - Ianya penting dan mesti dilakukan pada masa yang tertentu yang dikalamana gagal dilakukan ia akan memudaratkan secara segera.. Ini adalah tanggungjawab-tiada kompromi.

Quadran II:
Menyediakan Menu Masakan, Membaca, Mengajar Anak, Menonton TV dan Melayari Internet (Untuk mendapat ilmu), Membuat Kerja Sambilan, Menghadiri kelas kemahiran, mengikuti pengajian agama - Ianya penting dalam menjadikan akiviti dalam Quadran I menjadi lebih berkesan atau lebih happening (Menjadikan diri kita dan orang2 disekitar kita lebih baik)

Quadran III:
Berborak panjang  dalam telefon, berborak panjang dengan jiran, menonton TV sinetron - Kurang pengting tapi mesti dilayan dalam masa tertentu.

Quadran IV:
Melayari Internet untuk suka2 (Facebook, Youtube dll) - kurang penting dan boleh dilakukan bila2 masa saja.

Saya ingin menghuraikan lebih berkenaan dengan Quadran II sebabnya pada saya dia lah yang akan mempengaruhi Quadran I.

Ambik contoh memasak - siapa2 pun boleh memasak. Tapi kalau kerja sebagai Chef direstoran, bolehkan Chef masak masakan yang sama tapi rasanya hari ni lain dan esoknya pula lain? Sudah tentu tidak.. dan apakah agaknya yang Chef tadi lakukan supaya masakannya sentiasa sama sedap rasanya?
Jawapannya adalah ilmu yang dipelajari dan latihan yang telah dilalui...

Jadi secara ringkasnya aktiviti dalam Quadran II adalah sesuatu yang membuatkan kita akan hebat dalam Quadran I. Apabila kita sudah hebat dalam Quadran I kita akan mendapat pujian, sanjungan dan sebagainya yang baik2 dan kalau kita tidak dapat menjadi hebat " Not Competent" kita akan menyusahkan diri dan juga orang lain.

Bila dah meyusahkan diri dan orang lain- kita akan sentiasa sibuk melakukan perkara yang tidak ada nilai tambah (seperti melayan komplen orang terhadap kita) dan seterusnya tidak sempat untuk melakukan sesuatu di Quadran II. Hasilnya kita tak akan kemana-mana....sebab kita sentiasa sibuk!

Jumpa Lagi!
Wassalam dan selamat berpuasa...




Friday, June 29, 2012

Hidup Ini Untuk Menunaikan Tanggungjawab....

Assalamualaikum..

Alhamdulillah akhirnya dapat jugak menulis balik dekat blog ni walaupun dah beberapa bulan tak dapat meluangkan masa..

Daripada bulan 2 hingga hujung bulan 5 baru2 ni, ada beberapa keutamaan yang memerlukan komitmen yang amat tinggi.

Yang Pertama adalah berkenaan dengan kerja dimana project baru sudah hampir sampai pada kemuncaknya tetapi persediaan yang masih kelam kabut. Pendek kata haru biru la jugak sampai ada group member yang terpaksa membekukan cuti sendiri dan sabtu ahad pun datang kerja demi memastikan projek berjaya..

Dan dalam masa yang sama ayahanda yang tercinta dikampung berada dalam keadaan yang tidak sihat dimana mula2 hanyak anak jari kiri yang dipotong disebabkan gangren pada awalnya tapi berkesudahan dengan kaki terpaksa dipotong bawah paras lutut agar luka dapat sembuh.

Apakah tangunggjawab yang sepatutnya dilakukan oleh anda sekiranya anda bertembung dengan situasi yang begini.?

Tanggungjawab anda mungkin berbeza2, bergantung pada siapa diri anda samada anda adalah ditempat saya, ataupun anda suami/isteri , atau anda bos, atau anda anak2 buah kepada yang mengalami masalah yang sama di atas.

Alhamdulillah segalanya telah berjaya dilalui walaupun dalam hati masih banyak yang perlu dilakukan untuk ayahanda tercinta yang walaupun sudah sembuh dari luka tapi masih mengharapkan agar anak2 senantiasa ada di sisi ..

Moga Allah memberi kelapangan dan kekuatan kepada diri ini untuk dapat berbakti sebaik mungkin kepada ayanhanda tercinta..

Terima kasih tak terhingga kepada isteri, anak2, jiran2, adik-beradik, kawan2, bos-bos dan anak2 buah yang memahami dan banyak memberi sumbangan dan support!

Amin...